Datuk Seri Azizan Akan Jalani Pembedahan Potong Kaki


Datuk Seri Azizan Akan Jalani Pembedahan Potong Kaki | Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak akan menjalani pembedahan bagi memotong kedua-dua belah kakinya untuk mengelak jangkitan kuman, kata Setiausaha Akhbarnya Mohd Helmi Khalid.

"Doktor menasihatkan supaya kedua-dua belah kaki Azizan dipotong dari bawah paras lutut. Kedua-dua isteri dan anak-anak beliau akur dengan nasihat itu selepas perbincangan dilakukan," katanya hari ini.

Azizan, 69, yang juga pesuruhjaya PAS Kedah dan anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya sejak Isnin.

Keadaan beliau yang dilaporkan kritikal semalam kini stabil.

Anggota Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang melawat Azizan di Hospital Pulau Pinang, meminta semua umat Islam melakukan solat hajat dan berdoa agar Azizan cepat sembuh.

Turut menziarah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahadzir Khalid dan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

- Bernama

Sama-sama lah kita doakan agar Datuk Seri Azizan selamat dan kakinya tidak akan dipotong.

Rafizi Ketuai Pasukan Kumpul Bukti Penipuan PRU13


Rafizi Ketuai Pasukan Kumpul Bukti Penipuan PRU13 | PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan mengetuai pasukan penyiasat untuk mengumpul bukti serta sebarang penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Perkara itu diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut Anwar, pasukan penyiasat itu terdiri daripada pimpinan tertinggi dari setiap parti dalam Pakatan Rakyat dan akan memulakan siasatan ke atas seluruh negara.

"Pasukan beliau (Rafizi) akan memadankan bukti-bukti tersebut dengan analisa keputusan di setiap kawasan Parlimen yang keputusannya telah diselewengkan," kata Anwar.

"Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan membentangkan bukti kepada orang ramai bahawa (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak memenangi pilihan raya ini melalui penipuan dan penyelewengan," katanya lagi.

Pasukan itu juga kata Anwar telahpun memulakan tugas untuk mengumpul semua maklumat dan bukti penipuan dan penyelewengan di seluruh negara.

Anwar sebelum ini mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat tidak dapat menerima keputusan pilihan raya bagi kawasan yang dipertikai dan menunggu penjelasan dari SPR.